Saturday, August 21, 2010

Maksud Nama,Lambang,dan Warna

             


     JALUR – menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG – bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa jua bidang kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu-padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara sama ada di dalam atau di luar negara. 
Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang yang sama lebarnya, tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua ini mengandungi anak bulan sebagai tanda agama persekutuan iaitu Agama Islam. Bintang pecah 14 tandanya perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Warna biru ini melambangkan rakyat yang bersatu-padu dan hidup dalam kerukunan dan kedamaian. Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Manakala warna putih pula melambangkan keluhuran budi dan keikhlasan hati. Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.



 

No comments:

Post a Comment